suria

"Ahmad Said Bagaikan Abang Saya" - Ahmad Razif

Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU: "Datuk Seri Ahmad Said bagaikan abang saya, saya sentiasa mempertahankan beliau...apa sahaja yang berlaku kepada beliau, sayalah orang yang akan berjuang habis-habisan mempertahankannya.

"Walau apa yang pernah dilakukannya kepada saya, di dalam hati saya, beliau tetap saya anggap sebagai abang.

"Apa yang dilakukan itu, saya sentiasa maafkan," demikian luahan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengenai perasaannya terhadap bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said pada temu bual eksklusif  Bernama di kediaman rasmi, Seri Iman, di sini, Jumaat.

Ahmad Razif berkata demikian semasa ditanya tentang tindakan Ahmad yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang DUN Terengganu pada 8 Mac lepas, yang kemudiannya ditolak oleh Speaker Datuk Mohd Zubir Embong kerana ia dibuat tanpa notis dan melanggar peraturan DUN.

Dengan genangan air mata ketika membicarakan perkara itu, beliau berkata kerana hubungan 'abang dan adik' itu jugalah beliau tetap meneruskan legasi Ahmad malah menambah peruntukan sedia ada dalam pelbagai projek kerajaan negeri.

Menurutnya beliau pernah bertemu Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, untuk berbincang tentang pembangunan negeri dan Ahmad memintanya supaya meneruskan legasinya.

"Beliau minta saya teruskan legasi beliau, maka saya teruskan dengan penambahan peruntukan RM331 juta di Kenyir. Begitu juga janji saya kepada beliau untuk terus membiayai kos zoo di Kemaman dengan RM5 juta setahun, melaksanakan jambatan ikonik di Kijal degan peruntukan R15 juta," katanya.

Ahmad Razif, yang menggantikan Ahmad sebagai menteri besar pada 23 Mei 2014, berkata beliau juga melaksanakan pusat boling di Kijal dengan kos RM30 juta, membina jalan di Awana Kijal sebanyak RM200 juta serta meneruskan projek perumahan di Sri Bandi, Kemaman.

"Ini akan saya teruskan walau pun (dalam keadaan) apa yang berlaku sekarang kerana itulah janji saya kepada beliau. Saya berjanji akan memberi komitmen kepada janji saya.

"Kepada penduduk Kijal, janganlah bimbang, walau dengan situasi yang berlaku ini, segala projek itu tidak satu pun dikurangkan malah mungkin ditambah lagi," katanya.

Ahmad Razif juga menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Ahmad.

"Saya tidak pernah ada apa-apa perasaan dendam kepada beliau dan kerana itulah juga saya menyokong apa sahaja yang dilakukan dan dilaksanakan sebelum ini. Saya akan terus menyokong.

"Dalam saat beliau susah, saya bantu (kerana) sebagai seorang adik, (saya) kena bantu beliau...dalam kekecohan yang berlaku sebelum ini, sayalah seorang (daripada yang membantu) atas dasar adik membantu abang.

"Saya membantu beliau, saya sentiasa mempertahankan beliau dan apa sahaja yang berlaku kepada beliau, sayalah orang yang akan berjuang habis-habisan mempertahankannya," katanya.

Namun, Ahmad Razif meminta beliau tidak diganggu dengan perkara-perkara yang hanya akan merugikan banyak pihak dan perancangan kerajaan negeri, serta berharap kemelut dengan Ahmad akan berakhir dengan baik.

"Berilah peluang untuk saya melaksanakan projek...jika saya diganggu dengan bermacam-macam cara dan suasana politik sekarang, maka tidak dapatlah saya menjalankan projek saya.

"Mungkin saya tidak boleh melaksanakan Transformasi Terengganu Baru (TTB) yang berusia setahun 10 bulan 21 hari ini...jadi, macam mana dalam tempoh itu kita boleh melihat kejayaan," jelasnya.

Pada masa sama, Ahmad Razif berkata beliau berpuas hati kerana dapat melihat pergerakan TTB semakin diterima semua rakyat Terengganu.

"Beri masa kepada saya dua tahun lagi...Insya-Allah, saya yakin dan percaya segala gagasan yang saya cetuskan ini dapat kita lihat pada 2020 nanti," kata beliau.

Artikel Lain