suria

KWSP Nafi Sedia Bantuan RM2,500 Setiap Enam Bulan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyangkal satu catatan di laman sosial Facebook yang mendakwa ia menyediakan bantuan sebanyak RM2,500 setiap enam bulan.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menggesa anggotanya dan orang ramai mengelak daripada menyebarkan kenyataan palsu berkenaan.

"KWSP memandang kes terbabit secara serius dan bertindak mengeluarkan amaran.

"Ini termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan KWSP serta produk dan perkhidmatannya yang boleh mewujudkan kekeliruan atau kebimbangan di kalangan anggota," tambahnya.

Individu yang mencatat kenyataan palsu itu mendakwa anggota KWSP perlu mengisi satu borang untuk menuntut RM2,500 itu, malah menyertakan pautan kepadanya.

Bagaimanapun, pautan itu adalah satu borang bagi tujuan menuntut faedah kematian.

"Bayaran faedah kematian sebanyak RM2,500 akan diberikan kepada tanggungan anggota yang meninggal dunia apabila permohonan untuk mengeluarkannya dibuat," kata KWSP.

KWSP juga menggesa anggota untuk menyemak dengannya mengenai sebarang isu berkaitan simpanan, produk dan perkhidmatan atau mereka juga boleh merujuk kepada laman web rasmi http://www.kwsp.gov.my/portal/ms/web/kwsp/general/chain-emails untuk penjelasan. - BERNAMA



KWSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain