suria

Demonstrasi Jalanan, Kempen Tandatangan Bukan Cara Tukar Kerajaan - Najib

LIMBANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat agar tidak terikut-ikut dengan tindakan sesetengah pihak yang mahu kerajaan ditukar melalui demonstrasi jalanan dan kempen tanda tangan.

"Itu tidak ada dalam perlembagaan," katanya.

Najib turut menafikan dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) "mabuk kuasa" kerana rakyat diberi peluang untuk mengundi memilih pemimpin dalam lima tahun sekali mengikut perlembagaan.

Memberi contoh demonstrasi jalanan di Timur Tengah yang dikenali Arab Spring, beliau berkata, ia kini tidak seperti diharapkan oleh rakyat di negara berkenaan.

"Revolusi Arab Spring tidak mencapai matlamat kerana perubahan dilakukan secara mengejut, tidak ikut perlembagaan dan tidak mengikut kedaulatan unang-undang", katanya semasa merasmikan program Sejiwa Senada (SJSN) Limbang di Komplek Sukan Limbang di sini hari ini yang dihadiri lebih 15,000 penduduk.

Perdana Menteri turut meminta rakyat agar jangan terpengaruh dengan budaya fitnah dan melaga-lagakan orang seperti yang dilakukan pembangkang melalui media sosial.

"Saya meminta rakyat berfikir sejenak untuk memikir dengan lebih mendalam parti mana yang boleh menjamin hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini," katanya.

Beliau mahu rakyat Sarawak memilih parti BN pada pilihan raya negeri ke-11 nanti supaya kerajaan pusat dapat meneruskan projek-projek yang dirancang seperti projek lebuh raya Pan Borneo, pembangunan Tanah Adat Bumiputera dan pelbagai lagi projek infrastruktur.

Berdasarkan prestasi BN di Sarawak, Najib yakin rakyat Sarawak akan memberi mandat lebih besar kepada kerajaan BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Artikel Lain