suria

Modus Operandi Terbaharu Kes Culik Kumpulan Bersenjata Filipina

Empat kru warga Malaysia diculik dari atas kapal MV Masfive 6, malam Jumaat.

KOTA KINABALU: Taktik terbaharu kes culik kini dikesan dilakukan menerusi kegiatan penculikan di luar pantai timur Sabah oleh kumpulan bersenjata Filipina.

Jika sebelum ini kumpulan lelaki bersenjata itu menculik tebusan dari kawasan pulau, kini mereka bertindak melarikan mangsa culik dari atas kapal yang melalui sempadan perairan Malaysia dan Filipina.

Pada 26 Mac, di Pulau Tawi Tawi Filipina, sebuah pulau yang dekat dengan Sabah, kira-kira 10 lelaki bersenjata yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf menculik 10 kru warga Indonesia dari dua bot tunda Brahma 12 dan Anand 12 yang berdaftar di Taiwan.

Salah sebuah bot tunda ditemui hanyut berhampiran Laguyan di Tawi Tawi tetapi 10 warga Indonesia dilarikan penculik tersebut.

Kemudian, kumpulan Abu Sayyaf yang menawan mangsa menuntut wang tebusan sebanyak 50 juta peso (kira-kira RM5 juta).

Dalam modus operandi yang sama pada malam Jumaat, lapan lelaki bersenjata menaiki bot tunda Malaysia MV Masfive 6 dekat Pulau Ligitan di pantai timur Sabah yang bersempadanan dengan Laut Celebes.

Laut Celebes terletak di barat Lautan Pasifik disempadani dengan Kepulauan Sulu, Laut Sulu, Kepulauan Mindanao di utara.

Namun kumpulan bersenjata itu hanya melarikan empat kru warga Malaysia iaitu Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, kesemuanya dari Sarawak.

Kumpulan tersebut bagaimanapun tidak membawa bersama tiga kru warga Myanmar dan dua rakyat Indonesia.

Empat kru yang diculik kumpulan bersenjata dipercayai dari Filipina.

Kru yang ditinggalkan memaklumkan perkara itu kepada syarikat mereka kira-kira pukul 7 malam Jumaat selepas kumpulan bersenjata tersebut melarikan diri sebuah bot laju berkuasa tinggi menuju ke perairan Filipina.

Kru yang terselamat menuju ke Tawau untuk membuat laporan polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Komisioner Datuk Abdul Rashid Harun berkata ia kelihatan seperti kumpulan penculik rentas sempadan memulakan trend baharu dan beroperasi di sepanjang kawasan sempadan memandangkan tahap keselamatan dipertingkatkan di pantai timur Sabah.

"Oleh kerana perintah berkurung diteruskan, insiden terbaharu berlaku di pinggir sempadan Sabah-Filipina.

"Penjenayah ini tidak lagi memilih mangsa mereka. Mereka akan mengambil sesiapa sahaja asalkan ia mudah bagi mereka dan meninggalkan segera kawasan itu.

Abdul Rashid berkata mereka tidak pasti pada masa ini kumpulan yang bertanggungjawab terhadap insiden penculikan terbaharu itu.

Malah, katanya, mereka sedang menunggu bantuan daripada rakan sejawatan di selatan Filipina.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Tawi Tawi Senior Superintendan Elizalde Quiboyen berkata tiada laporan pendaratan oleh penculik atau penculikan di mana-mana pulau tersebut sambil menambah polis, tentera laut dan pengawal pantai berada dalam keadaan berwaspada.

Laporan perisikan awal seolah-olah menunjukkan kumpulan penculik bukan daripada Muktadir bersaudara walaupun penglibatan mereka masih belum dinafikan.

Sumber di Jolo berkata empat warga Malaysia masih belum mendarat di Jolo di mana kumpulan Abu Sayyaf sebelum ini menahan 10 warga Indonesia yang diculik dibawah komander Abu Sayyaf terkenal, Alhabsy Misaya.

Beberapa sumber mendakwa kesemua mangsa culik ditahan oleh komander lain, Sawajan.

Kes penculikan kali terakhir melibatkan sebuah kapal Malaysia berlaku pada 11 April 2004.

Tiga kru, dua warga Sarawak dan seorang dari Indonesia culik di perairan sama antara Sandakan dan Tawi Tawi.

Dua rakyat Sarawak meninggal dunia semasa dalam tahanan manakala warga Indonesia dibebaskan.

Kumpulan bersenjata itu turut menculik pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, 50, dan pelancong dari Sarawak Bernard Then di Restoran Ocean King Seafood tidak jauh dari Sandakan pada 4 Mei tahun lalu.

Thien dibebaskan pada 8 November lalu manakala Then, kepalanya dipenggal pada 17 November selepas rundingan gagal dicapai.

Artikel Lain