LANGKAWI: Sebuah feri penumpang yang sedang dibaiki dan berlabuh di jeti berdekatan Pekan Rabu terbakar, pagi Selasa. Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Lim berkata, kebakaran itu berlaku di bahagian tengah feri berkenaan dan dek penumpang pada kira-kira pukul 10.15 pagi. "Kru feri itu cuba memadamkan kebakaran sebelum anggota bomba tiba," katanya. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Pegawai Bomba Tinggi Mohamad Zabidi Che Teh berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.18 pagi dan tiba di tempat kejadian pada 10.26 pagi. Menurutnya, 18 anggota bersama tiga jentera termasuk sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian dan api dipadam sepenuhnya pada 11.05 pagi. "Tiada penumpang di dalam feri itu ketika kejadian. "Kira-kira 30 peratus daripada feri itu terbakar membabitkan kerusi penumpang bahagian tengah feri dan bilik jurumudi. "Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.