PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya lapan cedera dalam kejadian letupan gas di sebuah restoran di pusat beli belah Mid Valley di Jalan Lingkaran Syed Putra dekat sini, pagi Selasa. Kejadian di aras bawah bangunan itu juga dikatakan telah mengakibatkan premis makanan segera bersebelahannya mengalami kerosakan. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pantai berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi. "Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan menghantar jentera dengan 10 anggota ke lokasi. "Sebaik tiba didapati sebahagian siling di bahagian luar restoran musnah," katanya. Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berada di lokasi bagi memantau situasi. Pengurusan pusat beli belah Mid Valley juga mengesahkan beberapa kakitangan penyelenggaraan cedera susulan letupan kecil itu. Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengorbankan nyawa, menurut kenyataan yang dikeluarkan, Selasa. Kejadian itu melibatkan dua premis makanan ketika kerja-kerja pemeriksaan terhasap sistem gas sedang dijalankan. "Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa terlibat. Buat masa ini, sisten saluran gas di pusat beli belah ini ditutup sementara," katanya.