suria

2,194 Gelandangan Dapat Pekerjaan Menerusi Anjung Singgah

KUALA LUMPUR: Sejumlah 2,194 gelandangan mendapat pekerjaan setakat Mac lepas, dengan kadar pendapatan mencukupi untuk menampung sara hidup mereka sejak empat Anjung Singgah beroperasi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata Anjung Singgah yang berperanan sebagai pusat rujukan intervensi sosial juga berjaya mengembalikan 861 gelandangan ke pangkuan keluarga masing-masing bagi tempoh yang sama.

"Golongan gelandangan di Anjung Singgah di Kuala Lumpur, Kuching, Johor Baharu dan Pulau Pinang ini dibantu daripada aspek psikologi melalui aktiviti kaunseling dan motivasi bagi meningkatkan tahap kesediaan mereka kembali kepada kehidupan lebih baik. 

"Mereka juga dibantu untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor khidmat pembersihan, kawalan keselamatan dan sebagainya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja," katanya di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Pas-Pasir Puteh) yang meminta kementerian menyatakan usaha yang diambil bagi membantu membina kehidupan golongan gelandangan dalam penyediaan tempat tinggal dan sara hidup harian.

Azizah berkata kementerian turut menempatkan golongan gelandangan warga Malaysia di rumah perlindungan lain iaitu bagi mereka yang berumur di bawah 60 tahun akan ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD) dan bagi yang berumur 60 tahun ke atas diberikan penjagaan dan perlindungan di Rumah Seri Kenangan (RSK). 

Katanya penghuni di DBD akan menjalani pemulihan, latihan kerjaya dan kemahiran seperti vokasional, pertanian dan kraf tangan bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun. 

Mereka turut diberi rawatan perubatan, penjagaan kesihatan, bimbingan kaunseling dan agama serta dilibatkan dalam aktiviti rekreasi.

"Bagi gelandangan yang mempunyai keluarga pula, mereka akan diserahkan kembali kepada keluarga masing-masing dan akan dipertimbangkan bantuan kebajikan yang bersesuaian sekiranya layak," katanya.-- Bernama

Artikel Lain