suria

Kes Bunuh Kevin Morais: Pendakwaan Akan Buktikan Pembabitan Tujuh Lelaki

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan membuktikan penglibatan tujuh lelaki dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais bermula daripada mendiang mengendalikan kes-kes pakar patologi tentera Kolonel Dr R.Kunaseegaran, di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa berkata pendakwaan akan membuktikan tindakan tertuduh-tertuduh mencari tong dram dan simen yang diletakkan di hadapan gerai milik tertuduh kedua (OKT2), G.Gunasekaran, di No 1, Jalan USJ 1/6, Subang Jaya.

"Si mati telah diletakkan di dalam tong dram tersebut dan dibiarkan semalaman," kata Abdul Razak dalam ucapan pembukaan kes itu pada hari pertama perbicaraan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.

Katanya keterangan juga akan dikemukakan bahawa pada 5 September 2015, OKT6 iaitu S.Nimalan, bersama OKT3  R.Dinishwaran, dan OKT7  S.Ravi Chandaran, telah mendapatkan perkhidmatan 'forklift' untuk mengangkat tong dram yang mengandungi mayat si mati dan membuangnya ke dalam sebuah paya tidak jauh dari gerai milik Gunasekaran.

Abdul Razak berkata pendakwaan akan membawa keterangan bahawa Gunasekaran, bersama Nimalan dan Ravi Chandaran pada malam sama (4 September 2015) telah membawa kereta Proton Perdana No WA6264Q ke sebuah ladang kelapa sawit, Hutan Melintang, Perak, lalu membakarnya. 

Pendakwaan juga akan membuktikan di awal pagi 4 September tahun lepas, kesemua tertuduh kecuali Dr Kunaseegaran, telah berkumpul di Restoran Syed Bistro, Petaling Jaya sebelum bergerak ke Jalan Dutamas untuk menunggu dan mengekori Kevin Morais keluar dari rumah untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

"Seterusnya akan dibuktikan kereta si mati dilanggar oleh sebuah kereta Mitshubishi Triton tidak lama selepas si mati keluar dari rumahnya. Kemudiannya si mati dibawa ke sebuah bengkel di Desa Mentari, Petaling Jaya. Di sini akan ditunjukkan si mati telah pun diperlakukan dan dimasukkan ke dalam sebuah guni plastik dan diletakkan di dalam bonet kereta," katanya.

Abdul Razak, yang juga Timbalan Ketua Unit Pendakwaan 11, berkata pihaknya juga akan mengemukakan keterangan yang membawa kepada penemuan mayat dan hasil bedah siasat serta keterangan-keterangan lain untuk membuktikan peranan dan kesalahan kesemua tertuduh.

Katanya lagi, pendakwaan akan mengemukakan keterangan secara langsung dan keterangan ikut keadaan penglibatan Gunasekaran dan Ravi Chandaran, dari awal hingga akhir bagi membuktikan niat dan perbuatan salah kesemua tertuduh.Pada 27 Januari lepas, enam lelaki - Gunasekaran, 48, Dinishwaran, 24, A. K Thinesh Kumar, 23, M. Vishwanath, 26, Nimalan, 23, dan Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya. 

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa yang mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.

Gunasekaran, Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran diwakili peguam V.

Rajehgopal manakala Dinishwaran dan Thinesh Kumar oleh peguam M. Manoharan.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September tahun lepas. Beliau dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di sini dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q. 

Mayatnya ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September tahun lepas. -- Bernama

Artikel Lain