PETALING JAYA: Menyedari saingan bagi kategori Chef Selebriti Pilihan terlalu sengit, Chef Adu Amran tidak ketinggalan mengatur strategi untuk memancing undi peminat bagi merebut gelaran juara menerusi Anugerah Pilihan Online (APO2016) anjuran mStar Online dan Suria FM. Bagi Chef Adu, pengundi setia yang membuat undian paling banyak akan dijemput khas untuk menikmati juadah hasil air tangan beliau sempena pembukaan kafe The Canteen by Chef Adu pada 10 April ini. Malah selebriti berusia 46 tahun itu berkata, langkah tersebut bukan sekadar strategi tetapi juga sebagai tanda menghargai sokongan peminat yang tidak putus-putus menyokong kariernya selama ini. "Siapa yang undi terbanyak, rajin kempen untuk undi saya bersama-sama dengan atok, nenek mereka, mungkin saya akan belanja (makan) di kafe saya nanti. "Oleh itu, saya minta pengundi supaya hantar mesej terus kepada saya menerusi Instagram (IG) chefaduamran. Nanti kita boleh sembang di sana," katanya ketika ditemui mStar Online pada majlis pengumuman carta lima terbaik bagi APO2016 baru-baru ini. Menurut anak kelahiran Kluang, Johor itu, beliau terkejut dan tidak menduga dapat tersenarai dalam kelompok lima teratas bagi kategori tersebut memandangkan pencalonan awal begitu sengit. "Ia satu pengalaman yang agak pelik. Saya seolah-olah tidak percaya dapat sampai ke tahap ini kerana saya tidak tahu mengenai pencalonan awal. "Saya tanya penganjur betul ke sebab saya takut mereka tersilap hantar mesej. Ini memang betul-betul satu kejutan," katanya. Diminta mengulas mengenai pembukaan kafe terbaharunya yang terletak di Muzium Tekstil Kebangsaan dekat Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Chef Adu berkata, beliau tidak terlalu mementingkan konsep tetapi lebih memberi tumpuan terhadap menu kepada pengunjung. "Sekarang di Malaysia amnya banyak kafe berkonsepkan hipster. Kalau saya nak konsep seperti itu dah tak boleh sebab umur dah meningkat. Jadi saya tak terlalu ikut trend sangat, konsep (kafe) sama macam yang saya pernah buat sebelum ini," katanya. Roti canai Tortilla, salah satu hidangan istimewa di The Canteen by Chef Adu yang akan dibuka pada 10 April ini. Beliau berkata, kafe tersebut akan menyediakan pelbagai hidangan klasik Johor seperti laksa Johor, soto, nasi lemak bungkus dan mi bandung. Lebih menarik, katanya, pengunjung juga akan disajikan dengan hidangan istimewa brownies yang dihasilkan menggunakan campuran pisang salai yang popular di Johor. "Boleh dikatakan semua hidangan cukup istimewa tetapi untuk kafe ini saya hasilkan brownies menggunakan pisang salai. "Selain itu, saya kembalikan semula menu roti canai tortilla yang pernah disajikan untuk restoran pertama saya di Langkawi pada 1994 khusus sempena pembukaan kafe ini nanti," katanya. Dalam pada itu, Chef Adu turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang mengundi beliau sehingga tersenarai dalam kelompok lima teratas bagi kategori Chef Selebriti Pilihan bagi APO2016. "Terima kasih kepada mereka yang mengundi saya. Tanpa undian penyokong, saya mungkin tak akan tercalon. Terima kasih sekali lagi," katanya. Selain Chef Adu, turut tersenarai dalam kelompok lima teratas bagi kategori tersebut adalah Chef Azli Razali, Chef Fazley Yaakob, Chef Nik Michael dan Chef Wan. Proses pengundian fasa kedua bermula 1 April hingga 27 April ini dan sepanjang tempoh itu undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi tiga platform iaitu akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web apo.mstar.com.my. Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam. Acara ini bertemakan Glam Digital yang bakal menyaksikan pentas dan laluan karpet berwarna ungu (purple carpet) sebagai simbolik kepada kemeriahan tema yang dibawa. Pemenang bagi setiap kategori bakal menerima trofi, hadiah dari penaja utama Dnars, seutas rantai mutiara sumbangan Rafflesia, jam tangan jenama Ice Watch dan penginapan serta makan malam sumbangan Hotel Dorsett Putrajaya.