suria

Wanita Didakwa Jalankan Bisnes Mengurup Wang Tanpa Lesen

JOHOR BARU: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu atas dua pertuduhan iaitu menjalankan perniagaan mengurup wang tanpa lesen dan menggunakan perkataan `Money Changer' tanpa kelulusan Bank Negara di premisnya tiga tahun lepas.

Noor Liza Raseek Khan, 31, dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah kedai mini di sebuah hotel di sini pada 5 September 2013.

Tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan itu jika sabit kesalahan.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan Noor Liza diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Bank Negara Alvin Ong dan Siti Nabila Huda Zaidisham manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir.

Terdahulu, Mohamad Isa memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan rendah untuk anak guamnya kerana dia menghidap diabetes sejak 15 tahun lalu dan perlu mendapatkan rawatan setiap hari.-- Bernama

Artikel Lain