KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus kepada peminjam Pinjaman Pelajaran Mara yang gagal dalam pengajian mereka, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa. Annuar berkata tawaran itu diberi kepada pelajar yang gagal menamatkan pengajian atas apa jua sebab termasuk mereka yang sedang menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah berhubung pinjaman berkenaan. "Jika sebelum ini pelajar yang gagal pengajian perlu membayar 100 peratus pinjaman mereka, tetapi untuk meringankan beban mereka, kita tawarkan 50 peratus diskaun terhadap baki pinjaman mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Khamis. Pada sidang media itu, Annuar berkata peminjam pada tahun 2010 dan sebelumnya yang lulus pengajian tetapi tidak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik, telah diberi tawaran diskaun 50 peratus ke atas baki pinjaman mereka pada 25 Mac lepas dan kini mendapat tambahan 20 peratus diskaun. Turut diumumkan tambahan 20 peratus diskaun kepada peminjam yang layak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik dan telah memperoleh pengurangan bayaran balik. "Sebagai contoh, sekiranya pelajar B mendapat tajaan pinjaman katalah berjumlah RM200,000 serta lulus pengajian dan mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik misalnya berjumlah 75 peratus diberikan atas baki pinjaman semasa dan kini diberi tambahan 20 peratus lagi, jadi peminjam hanya bayar RM40,000,"katanya. Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata semua tawaran berkenaan tertakhluk pada peminjam yang membuat bayaran sekali gus daripada baki pinjaman mereka. Katanya permohonan mestilah dibuat secara dalam talian di portal Mara http://insentif50.mara.gov.my dan dibuka sehingga 31 Disember tahun ini sahaja. "Selepas tarikh itu, kadar pinjaman adalah seperti sebelum diskaun,"katanya. Beliau berkata Mara adalah agensi yang mendapat peruntukan daripada kerajaan dan tidak wajar menyamakannya dengan Perbadanan Tabung PendidikanTinggi Nasional (PTPTN) yang memang meminjam dengan jaminan kerajaan untuk memberi pinjaman kepada pelajar. "Tawaran ini pun bukan kita buat setiap tahun, tetapi sambutan 50 tahun Mara ini kita berikan, selain daripada mengurangkan beban pelajar, kita akan gunakan kutipan untuk beri pinjaman kepada lebih ramai pelajar dan pelaksanaan aktiviti bermanfaat," katanya. -Bernama