KUALA LUMPUR: Pembelian saham Tanjong Energy Holding bernilai RM10.6 bilion oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilakukan tanpa penilaian terperinci, kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). "Pembelian saham Tanjong Energy Holding Sdn Bhd dengan harga bidaan RM10.6 bilion pada 8 Februari 2012 dilakukan tanpa pertimbangan terperinci mengenai kaedah pembiayaan, kos pinjaman dan komitmen yang terpaksa ditanggung 1MDB untuk pengambilalihan," kata PAC. Siasatan PAC terhadap 1MDB bermula pada Mei 2015 tetapi dihentikan secara tiba-tiba berikutan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin menggantikan bekas pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri. Antara yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada PAC ialah bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamarduddin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif semasa 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan Shahrol.