PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih agresif dengan mengarahkan semua premis makanan ditutup menjelang tengah malam untuk menangani masalah peningkatan penyakit diabetes di negara ini. Naib Presiden Persatuan Diabetes Malaysia, Jong Koi Chong berkata kerajaan perlu melaksanakan dasar yang lebih tegas dengan menghentikan premis makanan daripada beroperasi pada tengah malam. Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pernah membuat gesaan ini pada masa lalu tetapi kerajaan tidak melaksanakannya kerana ia bukan satu langkah yang popular. Namun, Jong berkata data semasa menunjukkan bahawa peningkatan pengetahuan dan kesedaran tidak mencukupi dalam membawa perubahan kepada tingkah laku. "Daripada pengalaman kami, pelbagai kempen gaya hidup sihat dari awal tahun 1990 boleh membuktikan fakta ini. Rakyat Malaysia tidak mengambil perhatian serius. Kita memerlukan pendekatan yang lebih agresif," katanya. Pada hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperingkati Hari Kesihatan Sedunia dengan slogan Tumpaskan Diabetes: Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan Mantapkan Saringan. Jong yang juga Presiden Majlis Pencegahan Obesiti Malaysia berkata kerajaan perlu mengurangkan pendedahan kepada rakyat kepada faktor penyakit tidak berjangkit melalui dasar yang lebih tegas, bukan hanya polisi mudah. Malah, katanya, individu mahupun masyarakat perlu lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri. Beliau menyatakan rasa bimbang mengenai penyakit diabetes yang meningkat secara mendadak lebih daripada 15 peratus menjelang 2025. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2015 mendedahkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada 2011 menjadikan peratusan pesakit diabetes 15.2 peratus dan seterusnya meningkat kepada 17.5 peratus pada 2015. Daripada 17.5 peratus, hanya 8.3 peratus mengetahui mereka menghidap diabetes manakala 9.2 peratus tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tersebut. Jong berkata salah satu punca peningkatan penyakit itu adalah disebabkan oleh Kementerian Kesihatan memilih penduduk secara rawak untuk kajian tersebut dan mendapati bahawa terdapat penyakit kencing manis dan mereka tidak menyedarinya. "Bagi setiap pesakit diabetes terdapat salah seorang yang tidak menyedari menghidap penyakit itu. Mereka yang tidak menyedarinya adalah kumpulan yang perlu kita bimbangkan," katanya. Beliau berkata angka 17 peratus amat tinggi dan membimbangkan serta ia dikaitkan dengan kadar obesiti terutamanya di kalangan generasi muda.