suria

El Nino: Bekalan Air Botol Dihantar Segera Ke Pulau Banggi

KOTA KINABALU: Ribuan karton air botol akan dihantar ke pulau Banggi yang telah terjejas teruk oleh El Nino dan musim kering yang berpanjangan.

Penghantaran itu dijadual tiba di Banggi pada Sabtu, sehari selepas loji rawatan air di pulau itu ditutup kerana air sungai telah kering.

Pegawai Daerah Kudat Sapdin Ibrahim berkata sebanyak 3,000 karton air botol telah dihantar ke situ dari bandar Kudat  menggunakan bot.

"Ini akan menjadi satu permulaan dalam penghantaran bekalan air botol berterusan ke Banggi," katanya kepada The Star, Jumaat.

Keutamaan bekalan akan diberikan kepada hospital di pulau ini yang terletak di penempatan utama di Karakit. Setiap keluarga di lima buah kampung yang mempunyai air paip juga akan menerima tiga karton air botol.

Sapdin berkata keluarga di kampung-kampung lain di pulau itu akan menerima satu karton air buat masa sekarang.

Terdapat sejumlah 18 buah kampung di Banggi dengan populasi penduduk seramai 10,000 orang.

Penduduk pulau Banggi Asni Madin berkata mata air berhampiran Kampung Timbang Dayang kekal sebagai sumber air tunggal untuk mereka tetapi ia kering dengan cepat.

"Lebih satu jam diambil untuk mengisi bekas 10 liter air. Alirannya begitu kecil dan begitu ramai orang bergantung dengannya termasuk dari pulau-pulau lain, "katanya.

Asni, seorang bekas guru, berkata penduduk pulau yang berkemampuan telah membeli air botol dari Karakit berharga RM1.70 setiap satu.
Pulau Banggi, El Nino, air botol

Artikel Lain