suria

Mohamed Khaled Sesuai, Layak Pimpin BN Johor

Datuk Tee Siew Kiong
JOHOR BAHARU: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilihat amat sesuai dan layak memimpin Barisan Nasional (BN) negeri malah telah membawa banyak perubahan di negeri ini, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor Datuk Tee Siew Kiong.

Beliau berkata sepanjang di bawah kepimpinannya, Johor menyaksikan hala tuju pembangunan yang jelas dan pelbagai pelan pembangunan prorakyat turut dilaksanakan.

"Mohamed Khaled merupakan seorang yang berpengalaman luas dan berpandangan jauh. Cara kepimpinan beliau disukai dan diterima pelbagai keturunan bangsa di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Johor 2016, di sini, Jumaat.

Tee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat gerakan untuk menukar Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar Johor yang diketuai oleh seorang timbalan menteri dari negeri ini, yang namanya tidak didedahkan.

Beliau menyifatkan Mohamed Khaled merupakan pemimpin yang senang diajak berbincang malah slogan 'Muafakat Johor' yang diinspirasikannya telah berjaya membantu mengukuhkan permuafakatan semua lapisan masyarakat di negeri ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat meminta Umno menyiasat pihak yang didakwa mahu menggulingkan Mohamed Khaled.

Beliau berkata Umno juga perlu mendesak mereka yang membawa dakwaan itu  supaya menjelaskan siapakah timbalan menteri yang dimaksudkan supaya dapat mengelak syak wasangka terhadap timbalan-timbalan menteri dari negeri ini.

"Perlu siasat seterusnya ambil tindakan terhadap mereka yang mencetuskan provokasi tanpa bukti ini kerana tindakan mereka dilihat jelas mahu menjejaskan nama baik parti dan pemimpin Umno.

"Dalam masa yang sama, kenyataan yang jelas tidak beretika ini, menyebabkan kita sebagai anggota Umno khususnya mereka yang suka dengan cerita-cerita sebegini, membuat andaian dan tuduhan melulu," katanya dalam kenyataan Jumaat.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula menyifatkan usaha menukar menteri besar tidak akan memberi manfaat kepada Umno kerana apa yang sewajarnya menjadi keutamaan adalah memperkukuh parti dan mendengar suara akar umbi.

Beliau berkata pertembungan elit politik dalam Umno tidak sepatutnya mengheret parti itu menimbulkan lebih banyak isu yang akhirnya boleh memecah-belahkan dan melemahkan parti.

"Umno Johor adalah benteng kekuatan Umno dan itu perlu dipertahankan.Mohamed Khaled adalah aset Umno. Beliau antara pemimpin Umno yang rasional serta prihatin dengan lantang bercakap soal masa depan Umno dan mengakui perlunya parti itu bijak merancang arus perubahan politik," katanya.

Menurut Mohd Izani, Mohamed Khaled dilihat sentiasa memastikan hubungan yang baik antara Johor dan kerajaan persekutuan walaupun harus diakui terdapat cabaran dan pengaruh seperti kewujudan tokoh politik daripada Johor iaitu Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah digugurkan sebagai timbalan perdana menteri.

Beliau berpendapat parti keramat itu mesti mengekalkan pemimpin yang kurang politiking tetapi mempunyai pemikiran dan idea yang strategik untuk membangunkan negara.


"Lebih-lebih lagi, hubungan yang baik antara Mohamed Khaled dan Sultan Johor tidak memungkinkan pertukaran Menteri Besar boleh menjadi kenyataan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain