suria

Perairan Laut Cina Selatan Dijamin Selamat - Johari Baharum

KUCHING: Perairan Laut Cina Selatan dijamin selamat bagi semua aktiviti maritim termasuk perikanan dan perdagangan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum.

Beliau berkata tidak ada sebarang pencerobohan berlaku di kawasan sekitar perairan negara sebagaimana yang dilaporkan di sesetengah media sosial dan keadaan perairan negara terkawal.

"Saya nak tegaskan laut kita selamat dan kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga. Kita bersedia 100 peratus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Rakan Maritim (Rakam) di KD Perak di sini, Jumaat. 

Beliau berkata pelancaran program Rakam yang julung kali di Sarawak hari ini adalah salah satu usaha Kementerian Pertahanan untuk memastikan keadaan persekitaran yang selamat bagi setiap warganegara semasa di laut.

Sementara itu Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata masyarakat di pesisir pantai khususnya nelayan tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti perikanan.

"Sekurang-kurangnya dua kapal TLDM sentiasa berada dalam keadaan bersedia di kawasan Laut Cina Selatan bagi tujuan pemantauan. Sekiranya ada keperluan atau keadaan mencurigakan, kita akan hantar lebih banyak aset," katanya.

Beliau berkata TLDM turut bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melakukan pengawasan udara serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menggunakan pesawat Bombadier miliknya.

"Malah nelayan dan pelaut kapal dagang yang melalui Laut Cina Selatan juga boleh membantu menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan melalui inisiatif Rakam yang kita lancarkan hari ini," katanya. 

Inisiatif Rakam dijalankan untuk membantu komuniti maritim khasnya nelayan yang mana saluran komunikasi digunakan agar pelbagai masalah yang dihadapi di laut dapat diatasi dengan segera.

Menerusi program ini nelayan atau kapal dagang yang berada di laut boleh menghubungi Markas Wilayah Laut berdekatan dengan pantas untuk memaklumkan sebarang aktiviti mencurigakan yang dikesan di sekeliling mereka. -- Bernama


Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan