Ketua Polis Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 29 sehingga 34 tahun dipercayai dalam perancangan melakukan kes samun.
Beliau berkata pada kejadian 3.40 pagi itu, sepasukan pegawai polis sedang membuat rondaan pencegahan jenayah dan terserempak dengan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) yang mencurigakan yang dinaiki ketiga suspek berkenaan.
Selepas menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dan telah mengundurkan kenderaannya dan melanggar kereta polis dan merempuh kereta polis yang menghalang di hadapan, kata Sulaiman dalam satu kenyataan di sini petang tadi.
"Oleh kerana sikap agresif suspek yang mengancam nyawa serta harta pasukan polis serta enggan berhenti dan menjadikan keadaan yang tidak terkawal, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk memberhentikan kereta suspek dalan usaha menangkapnya.
"Pemandu MPV kemudiannya terkena tembakan di pangkal paha manakala dua suspek lain yang tidak terkena tembakan, keluar dari kereta dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan antara suspek dan pihak polis," kata beliau.
Menurut Sulaiman, suspek yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan keadaannya kini stabil.
Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu MPV itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau, manakala dua suspek lain turut mempunyai satu hingga dua rekod jenayah lampau, dengan salah seorang dikehendaki polis dalam satu kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Polis turut merampas sebilah parang sepanjang lebih kurang dua kaki setengah, sepasang sarung tangan dan sebuah kereta pelbagai guna yang disyaki kereta curi," kata Sulaiman.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.