suria

Juruteknik Maut Kemalangan Di LPT2

HULU TERENGGANU: Seorang juruteknik elektrik maut apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar lereng bukit di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada Jumaat.

Kemalangan berlaku di Kilometer 397.5 berdekatan susur keluar Ajil kira-kira12 tengah malam Jumaat.

Mangsa Mohd Saufi Awang, 24, berasal dari Kampung Imam Lapar, Telemong, yang cedera parah di bahagian kepala akibat tercampak ke dalam longkang, maut ditempat kejadian, manakala rakan sekerjanya Ahmad Husaini Hasrullah, 24, dari Padang Midin, Marang cedera ringan.

Abang mangsa, Mohd Kamal Awang, 27, berkata beliau tidak menyangka kepulangan adiknya itu yang ditunggu-tunggu anggota keluarga bertukar menjadi tragedi.

"Adik dan rakannya bekerja di Pengerang, Johor...saya ada telefon dia minggu lepas, dia cakap nak balik bulan depan tetapi tiba-tiba dia hantar whatsapp gambar baju yang dah disimpan dalam beg untuk balik ke kampung hari ini (semalam) sebab nak ambil kereta miliknya yang saya baiki.  

"Saya beritahu mak yang dia (Saufi) nak balik hari ini, tetapi dia sendiri sudah telefon mak terlebih dahulu...tak sangka pula kali ini dia balik dalam keadaan macam ini," katanya ketika ditemui pemberita..

Mohd Kamal berkata walaupun sedih dengan kehilangan adik bongsunya itu, beliau serta keluarga reda dengan ujian tersebut. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Hussin Deraman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemalangan tersebut. 

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat, manakala rakannya turut dibawa ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan,"katanya. -Bernama

LPT2, Maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain