suria

Kelab Umno Luar Negara Indonesia Sokong Kepimpinan Najib

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Muhammad Khairun Aseh Che Mat (kiri) melihat Deklarasi Menyokong Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditandatangani seramai 14 pemimpin Kelab Umno Luar Negara bersama Pengerusi Badan Perhubungan Negara Indonesia Muhammad Aiman Dzulkifli (kanan) pada majlis Makan Malam bersama para pelajar Malaysia anjuran Badan Perhubungan Negara Pelajar Malaysia di Indonesia. -fotoBERNAMA
MEDAN: Sebanyak 14 cawangan Kelab Umno Luar Negara Indonesia menzahirkan sokongan padu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui deklarasi #supportMyPM.

Kesemua 14 pengerusi cawangan Kelab Umno Luar Negara Indonesia yang bernaung di bawah Badan Perhubungan Negara (BPN) Indonesia itu menandatangani deklarasi sokongan berkenaan sebagai mewakili kira-kira 2,500 ahlinya.

Majlis menandatangani deklarasi #supportMyPM itu disaksikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh pada majlis malam gala BPN di sini, malam Sabtu.

Pengerusi BPN Indonesia Muhammad Aiman Dzulkifli, 22, berkata deklarasi itu mengandungi lapan faktor yang mendorong kepada sokongan tersebut termasuk Perdana Menteri cekap melaksanakan tanggungjawab, sabar serta berintegriti dalam memimpin negara.

"Perdana Menteri juga seorang yang idealis serta patriotik selain bijak mentadbir dan mengurus ekonomi negara, walaupun pada keadaan ekonomi dunia yang mencabar," kata mahasiswa tahun tiga jurusan Bimbingan Kaunseling Islam Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau itu.

Selain itu, Muhammad Aiman yang juga Pengerusi Cawangan Kelab Umno Luar Negara Pekanbaru berkata Najib membuat keputusan penuh berhemah dalam apa jua keadaan termasuk ketika negara dan parti sedang diancam pelbagai tragedi.

Katanya Najib turut prihatin terhadap kebajikan mahasiswa dalam dan luar negara dengan pemberian pelbagai bantuan dan insentif.

Melahirkan pandangan sama, Muhammad Nazim Abd Malek, 27, berkata kerajaan di bawah pimpinan Najib banyak membantu BPN Indonesia dari segi kebajikan pelajar selain memberi peruntukan dalam penganjuran program sosial dan sukan.

"Jika berlaku bencana seperti gempa bumi di Indonesia, kerajaan akan bertindak pantas dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar tanpa mengira latar belakang," katanya.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pergigian Universitas Sumatera Utara itu berkata mahasiswa perlu menilai usaha yang telah dilakukan kerajaan terhadap mereka dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan pihak tertentu khususnya di media sosial.

Bagi Abdul Mun-im Alias, 29, perkembangan terbaharu terutama melibatkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai tadbir urus 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengesahkan segala tuduhan terhadap Perdana Menteri selama ini adalah tidak berasas.

"Kita berdiri teguh di belakang Perdana Menteri bukan kerana kita kaki bodek tetapi fakta menunjukkan beliau berada di landasan yang betul," kata pelajar tahun akhir Ijazah Undang-Undang Syariah, Universitas Islam Negeri Syariff Hidayatullah, Jakarta itu.

PAC, yang dianggotai Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu pada Khamis lepas.

Ia antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain