KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mahu memastikan kemuliaan dewan itu terus dihormati sebelum beliau menamatkan perkhidmatannya pada 25 April ini. Menjelang persidangan Dewan Negara minggu depan yang akan dipengerusikannya buat kali terakhir, beliau mengingatkan kesemua anggota Dewan Negara bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku yang tidak boleh dikawal. Menurutnya semua senator diberi peluang yang adil untuk menyoal dan berbahas mengenai sebarang isu dan mereka haruslah berbuat demikian dengan mematuhi Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan negara. "Saya berpegang teguh kepada prinsip-prinsip tersebut. Kalau datang Dewan bercakap tak tentu arah, buang masa, (saya) halau keluar. "Tiada tempat untuk orang sebegitu. Yang benar tetap benar, yang salah tetap salah, itulah pendirian saya," katanya kepada pemberita di bangunan Parliamen di sini, Isnin. Dewan Negara akan bersidang selama 11 hari bermula 18 April ini. Terdahulu, Abu Zahar menerima kunjungan hormat Duta Kuwait ke Malaysia Saad Abdullah Saleh Al Asousi. Semasa kunjungan itu, duta berkenaan menyampaikan surat jemputan Speaker Dewan Kebangsaan Kuwait yang mempelawa Abu Zahar melawat negara itu.