suria

Hampir Setengah Juta Saman Langgar Lampu Isyarat Di Ibu Negara

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Hampir setengah juta saman dikeluarkan Polis Trafik Kuala Lumpur kepada pengguna jalan raya di ibu kota atas kesalahan tidak berhenti di lampu isyarat, sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain berkata, daripada 491,479 saman itu, sebanyak 78 peratus kesalahan dikesan melalui Sistem Pengawasan Kamera Lampu Isyarat Merah (RLSC) yang dipasang di 17 persimpangan 'kawasan panas' manakala 22 peratus lagi dikesan secara langsung oleh anggota trafik bertugas.

"Saman akibat kesalahan sama dari Januari hingga Mac tahun ini juga meningkat sebanyak 29 peratus di mana 142,039 saman direkodkan berbanding hanya 110,021  dalam tempoh sama tahun lalu," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, sebanyak 51 kemalangan berpunca daripada kesalahan melanggar lampu isyarat merah dicatatkan sepanjang tahun lalu manakala 11 kemalangan dengan satu kematian dilaporkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Mohd Nadzri berkata, pemandu kenderaan persendirian seperti kereta, van, kenderaan pacuan empat roda dan penunggang motosikal dikesan sebagai paling kerap melakukan kesalahan tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 9,429 saman bagi kesalahan sama dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan teksi yang beroperasi atau menggunakan laluan sekitar ibu kota.

"Sikap pentingkan diri sendiri, tidak berdisiplin, kurang kesedaran sivik dengan tidak menghormati undang-undang serta terkejar-kejar lampu kuning dilihat sebagai antara punca utama mengapa kesalahan ini sering dilakukan pengguna jalan raya," katanya.

Ditanya mengenai usaha polis trafik bagi membendung kesalahan melanggar lampu isyarat, Mohd Nadzri berkata, pihaknya mengadakan operasi bersepadu secara berterusan dengan kerjasama agensi berkaitan serta menganjurkan pelbagai kempen kesedaran terutama di peringkat sekolah.

Beliau berkata, sebanyak 240 anggota trafik ditugas mengawal lalu lintas di ibu kota setiap hari dengan tumpuan diberikan pada waktu puncak iaitu dari 6 pagi hingga 10 pagi ketika orang ramai keluar bekerja dan 5 petang hingga 9 malam ketika waktu pulang daripada bekerja.

"Kita juga sentiasa memantau laluan yang sering berlaku kesalahan melanggar trafik dan akan mencadangkan kepada pihak Bukit Aman supaya lebih banyak kamera pengawasan RLSC dipasang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, cadangan menambah bilangan RLSC merupakan inisiatif terbaik untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya seterusnya menggalakkan mereka mematuhi lampu isyarat.

Katanya, kajian dijalankan Miros di beberapa negara luar yang mengaplikasikan teknologi berkenaan juga terbukti berkesan mengurangkan kesalahan terbabit sebanyak 40 hingga 90 peratus.

"Penambahbaikan sistem lampu isyarat seperti pemasangan "countdown timers" yang hanya terdapat di beberapa lokasi sahaja perlu diperluaskan kerana ia membantu pengguna jalan raya lebih bertenang dalam menunggu giliran laluan mereka.

"Bagaimanapun, sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang seolah-olah menjadikan kesalahan melanggar lampu isyarat sebagai satu budaya di negara ini perlu diubah, jika tidak pastinya segala usaha yang dilakukan pihak berwajib tidak akan berhasil," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain