KUALA LUMPUR:Malaysia Airlines Bhd (MAB) yakin mesyuarat antara pengendali syarikat penerbangan dan Kementerian Pengangkutan yang berlangsung hari ini bagi membincangkan cadangan kenaikan yuran oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan membuahkan hasil. Ketua Pegawai Komersial MAB, Paul Simmon berharap mesyuarat itu akan mencapai keputusan positif bagi mengelakkan sebarang kesan masa depan operasi syarikat penerbangan. "Kami tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini memandangkan rundingan dengan kerajaan masih berlangsung dan kami mengemukakan pandangan kami. "Ia tidak dianggap selesai dan jika tidak dimuktamadkan sudah tentu ia akan memberi implikasi (khususnya dari segi perkongsian)," katanya selepas menandatangani kerjasama dua tahun dengan Lembaga Pelancongan Sarawak dan Kementerian Pelancongan untuk menaja Festival Borneo Jazz dan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia pada 2016 dan 2017. Paul berkata jika cadangan kenaikan itu dilaksanakan, MAB sukar untuk menyerap kenaikan berkenaan, dan akan memberi kesan tambang yang lebih tinggi. Pada Isnin, DCA, mewajarkan cadangannya untuk menaikkan yuran pengendali penerbangan sebanyak 10 kali ganda dengan mengatakan ia adalah satu keperluan untuk mengubah agensi persekutuan itu kepada pihak berkuasa yang sepatutnya. Ketua Pegarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, perubahan itu memerlukan jabatan berkenaan berdikari dan kenaikan yuran tersebut akan membolehkan usaha berkenaan. Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum itu memberi jaminan tidak akan ada kenaikan tambang udara walaupun terdapat kenaikan yuran yang dikenakan DCA terhadap syarikat penerbangan yang beroperasi di luar Malaysia. Beliau berkata kerajaan akan memastikan kenaikan yuran itu tidak akan menjejaskan harga tiket penerbangan.-- Bernama