KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu membantu membawa seorang pemuda seberat 250 kilogram yang sesak nafas dan sakit perut untuk mendapatkan rawatan di hospital. Mohamad Faisal Md Ali, 28, dari Kampung Tanjung Gelam, Batu Rakit dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dengan menggunakan lori seberat tiga tan milik JPAM. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.58 tengah hari tadi bagi membawa pemuda tersebut ke hospital. "Sejurus menerima panggilan, lima anggota JPAM bersama sebuah lori dikejarkan ke kediaman mangsa dan kami mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mangsa berikutan pintu rumah mangsa yang sempit. "Kami menggunakan selimut dan tikar bagi mengusung mangsa keluar dengan dibantu 10 orang penduduk kampung," katanya.-- Bernama