KUALA LUMPUR: Tiga daripada enam suspek bersenjata dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Selangor, ditembak mati awal pagi Selasa selepas mereka cuba menyerang polis dengan senjata tajam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Adnan Abdullah berkata polis melakukan serbuan pada kira-kira 5 pagi ini selepas mendapat maklumat suspek bersembunyi di dalam sebuah bangunan lama kondominium Highland Towers, Hulu Klang, Selangor, dekat sini. "Dalam serbuan itu, suspek yang bersembunyi di tingkat satu bangunan itu bertindak menyerang anggota polis dengan menggunakan parang dan sabit. "Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai tiga daripada enam suspek itu," katanya kepada pemberita selepas ditemui di lokasi kejadian di sini, Selasa. Adnan berkata suspek yang ditembak mati dipercayai berumur lingkungan 30-an dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. "Selain itu, polis turut merampas beberapa senjata serta peralatan samun seperti parang, sabit, pistol angin, sarung tangan, sarung muka dan pemutar skru. "Tiga lagi suspek berjaya meloloskan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan," katanya. Kesemua mayat dihantar ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat. Beliau berkata polis yakin dengan tumpasnya kumpulan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 26 kes samun di beberapa lokasi antaranya Dengkil, Sepang, Gombak dan Kajang yang melibatkan kerugian RM545,900. Satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers runtuh pada 11 Dis 1993 dan dua lagi bangunan itu kini terbiar dan tidak berpenghuni atas faktor keselamatan.