suria

Wartawan Bekas Tahanan ISA 17 Tahun Meninggal Dunia

Said Zahari.

PETALING JAYA: Bekas Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari meninggal dunia pada usia 88 tahun kerana sakit tua di rumah anak perempuannya Rismawati di Puncak Alam, Shah Alam, dekat sini, Selasa.

Anak sulungnya, Roesman Mohd Said memberitahu The Star bahawa bekas tahanan politik selama 17 tahun di bawah pemerintahan Lee Kuan Yew itu meninggal dunia ketika tidur kira-kira pukul 12 tengah hari Selasa.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Falah di USJ 9 dan selesai dikebumika di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di sini, kira-kira 7.30 malam ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan Roesman berkata ayahnya, telah menyimpan angan-angan mahu melihat hubungan antara kaum di negara ini kembali seperti zaman mudanya.

"Arwah ayah sering bercerita di mana pada ketika mudanya, orang Cina, Melayu dan India boleh duduk semeja, makan dan berbual tanpa ada sebarang perasaan prejudis dan syak wasangka (dan) arwah ayah nak suasana ketika itu kembali ke negara ini," katanya.

Roesman berkata beliau dan adik-beradiknya menjadikan arwah ayahnya itu sebagai contoh ikutan mereka.

"Ayah seorang yang tidak melihat warna kulit, dia berkawan dengan semua, dia pemurah, rajin memberi dan tidak pernah meminta balasan atas apa yang dikerjakannya, semua itu menjadi pegangan kami adik beradik," katanya.

Said, yang dilahirkan di Singapura pada 18 Mei 1928, merupakan seorang tokoh dalam bidang persuratkhabaran dan aktivitis politik tanah air. 

Beliau mendapat pendidikan di Singapura termasuk mempelajari bahasa Jepun semasa pendudukan Jepun, dan telah menamatkan pelajarannya sehingga Senior Cambridge sebelum bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1951.

Pada 1959 beliau dilantik sebagai Pengarang Utusan Melayu, dan terbabit dalam mogok akhbar itu pada tahun 1961 yang mengakibatkan beliau disingkirkan dari Malaya (waktu itu) dan terpaksa kembali ke Singapura.

Di Singapura beliau bergiat aktif dalam politik dan telah dilantik sebagai Ketua Umum Parti Rakyat Singapura tetapi belum sempat memulakan tugas, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan selama 17 tahun oleh pemerintah Singapura pada dari 1963 sehingga 1979 kerana dianggap berhaluan kiri.

Selepas dibebaskan dari penjara, beliau pernah menjadi Pengarang dan Pengarang Urusan Asia Research Magazine di Singapura iaitu selama enam tahun daripada 1980 sehingga 1986, dan pada 1992 hingga 1994 sebagai Pengarang Eksekutif Xenia Editorial Services, dan selama dua tahun sejak 1992, sebagai Karyawan Tamu di Jabatan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia.

Walaupun usia semakin meningkat, Said masih giat berkarya dan membuat penyelidikan untuk menghasilkan beberapa karya seperti Irian Barat Duri Dalam Daging, Puisi Dari Penjara dan Meniti Lautan Gelora yang juga diterjemah oleh beliau sendiri dalam bahasa Inggeris dan Cina.







Said Zahari, meninggal dunia

Artikel Lain