KUALA LUMPUR: Terdesak untuk mendapatkan wang sehingga sanggup mendakwa dirinya diculik oleh empat penjenayah mengakibatkan seorang penjaga restoran dihukum penjara sehari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu. Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap T. Logeswaran, 26, yang mengaku bersalah memberi maklumat palsu sehingga menyebabkan Inspektor Zulfadli Aizat Bakarudin menjalankan suatu siasatan berkenaan dengan maklumat yang diberikannya melalui J. Jayendran, 34, iaitu bapa saudaranya yang mana tertuduh tahu ianya adalah palsu. Logeswaran didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Pudu, Daerah Dang Wangi, di sini, pada 2.27 petang, 7 April lepas, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan dipenjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu. Menurut fakta kes, pada pukul 9.30 pagi, 7 April lepas tertuduh menelefon adik lelakinya, T. Aravin, 23, menggunakan nombor telefon baharu, dan mendakwa dirinya diculik oleh empat penculik yang meminta wang tebusan sebanyak RM60,000. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius. Logeswaran yang diwakili peguam Noor Mousa Azaddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya terdesak untuk menggunakan wang selain perlu menanggung bapanya yang tidak bekerja kerana sakit akibat kemalangan jalan raya. -- Bernama