PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 30 tahun yang videonya melakukan kekecohan di Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan menjadi viral, telah ditahan oleh pihak polis, lapor Sin Chew Daily. Wanita itu, yang hanya memakai coli dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan telah mencabar seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bergaduh dan dia kemudian dilihat menjadi tidak terkawal. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata wanita itu ditahan pada Sabtu, sehari selepas video itu tersebar di media sosial untuk membantu siasatan. Beliau berkata, siasatan polis menunjukkan wanita itu telah pergi ke kaunter dan disambut beberapa pekerja di sana, tetapi kemudian dia dilihat berjalan ke arah platform dan menjerit pada pengguna. "Oleh kerana keadaan dirinya menjadi tidak terkawal dan dia mahu membuka colinya, seorang kakitangan KTMB cuba menghalangnya tetapi wanita itu cuba untuk membaling kerusi kepadanya," katanya.