suria

Penulis Buku Kesusasteraan Meninggal Dunia Pagi Khamis

IPOH: Penulis dan pensyarah kesusasteraan, Prof Madya Dr Talib Samat meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tanjung Malim awal pagi Khamis.

Allahyarham yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1 pagi tadi pada usia 57 tahun. 

Anak Allahyarham Siti Hajar, 23, memberitahu Bernama bapanya mengadu sesak nafas di rumah mereka di Tanjung Malim pada pukul 12.30 malam tadi sebelum dibawa ke hospital. 

Allahyarham Talib merupakan salah seorang penulis dalam pelbagai genre seperti novel remaja dan dewasa, puisi, cerpen, rencana, biografi dan buku pengetahuan umum. 

Sepanjang hayatnya Allahyarham telah menghasilkan lebih 50 karya antaranya novel 'Panas Salju', buku '99 Nama Allah Tersohor' (2004) dan buku kajian 'Gaya Kewartawanan Baru:Dimensi Kewartawanan dan Kesusasteraan'.

Allahyarham juga pernah memenangi pelbagai hadiah sastera antaranya Hadiah Sastera Johor Darul Takzim menerusi novel 'Panggilan Jihad' pada 1996 dan novel' Dilema Anak Pulau' pada 2001. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain