suria

Anthony Loke Dihalang Masuk Sarawak

Anthony Loke.

PETALING JAYA: Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke antara pemimpin pembangkang terbaharu yang tidak dibenarkan memasuki Sarawak.

Loke dalam satu kenyataan di laman Facebooknya memberitahu beliau mendarat di Lapangan Terbang Miri bersama dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang kira-kira pukul 10 pagi Jumaat.

"Mendarat di Lapangan Terbang Miri bersama saudara Lim Kit Siang. Dia (Kit Siang) dibenarkan masuk tetapi saya disekat. Dihantar pulang ke Kuala Lumpur dengan serta-merta," katanya.

Usaha untuk menghubungi Loke tidak berjaya.

Menurut Jabatan Imigresen Sarawak, Loke merupakan individu keenam yang dilarang memasuki Sarawak pada 2016.

Antara mereka yang turut dihalang masuk ke negeri itu termasuk pemimpin DAP, Teo Nie Ching dan Ooi Leng Han, Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) dan Dr Afif Bahardin (PKR).

Pada malam Khamis, pemimpin Umno, Jamal Yunos turut dihalang memasuki negeri itu.

Sebelum ini, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata beliau akan menghalang mana-mana individu yang dianggap sebagai petaksub perkauman atau pelampau tanpa mengira latar belakang politik atau agama mereka.

Namun, Adenan berkata mereka yang dihalang itu hanya dibenarkan memasuki negeri tersebut selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Anthony Loke, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain