KUALA LUMPUR: Malam Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada 30 April ini akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran ikon fesyen, Datuk Dr Jimmy Choo. Pereka kasut terkemuka itu berkata beliau begitu teruja untuk bersama memeriahkan malam kemuncak acara tersebut kerana ia akan mengetengahkan bakat baharu di negara ini. "Saya sentiasa menyokong bakat-bakat baharu. Anak-anak muda perlu diberi peluang dan saya sememangnya menyokong APO 2016. "Ini adalah satu projek baharu kerana ia merangkumi bukan sahaja bidang muzik tetapi juga elemen media sosial," katanya. Choo mengulas mengenai acara anjuran mStar Online bersama Suria FM. Menurut beliau, pasaran Bahasa Malaysia lebih luas dan percaya radio dan portal berita secara dalam talian itu berada pada landasan yang betul. "Memandangkan ia disiarkan secara langsung oleh RTM, gabungan tenaga kerja itu akan membantu bakat baharu meraih penonton yang lebih luas," katanya. Choo berkata beliau akan ditemani protegenya dari Taiwan, Iliza Ho, seorang pereka beg yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Pereka aksesori muda dari Taiwan itu merupakan graduan dari sebuah kolej berprestij, London College of Fashion. "Bakat muda yang berjaya dicungkil ini perlu mendapat sokongan semua pihak," kata Choo.