GEORGE TOWN: Seorang pekerja kontrak maut dihempap paip besi seberat satu tan di tapak projek perumahan di Permatang Damar Laut, dekat sini Jumaat. Choo Ben Tong, 48, yang cedera parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat. Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Siti Norsalawati Saad berkata, kejadian berlaku pada 1.20 tengah hari ketika Choo sedang membantu rakan sekerjanya memantau proses mengangkat besi paip dari dalam sebuah lori. "Tayar lori yang dipandu rakan mangsa dikatakan terjatuh ke dalam lubang berhampiran pintu masuk tapak projek dan sebuah jentera berat diguna untuk mengangkat besi di atas lori itu. "Semasa proses mengangkat besi daripada lori itu tiba-tiba batang besi itu terjatuh dan menimpa mangsa," katanya di sini, Jumaat. Foto Bernama