KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di laman Facebooknya, Mac lepas. Sivarasa, 60, menghadapi dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman akaun Facebook 'Sivarasa Rasiah' dalam dua pautan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Sivarasa, yang juga seorang peguam, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 7.41 malam, 22 Mac lepas dan 4.59 pagi, 23 Mac lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan. Kedua-dua pautan itu dibaca di No A-1110, Tingkat 11, Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini pada 9.20 pagi hingga 9.30 pagi, 23 Mac lepas. Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menawarkan wang jaminan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Peguam N.Surendran yang mewakili Sivarasa memohon mahkamah tidak meletakkan sebarang jaminan dengan alasan kes itu merupakan kes saman dan bukan kes waran tangkap. "Adalah kebiasaan dalam kes saman tidak perlu jaminan wang. Orang yang disaman (Sivarasa) telah menghadirkan diri di mahkamah. "Tetapi jika didapati perlu jaminan, adalah sesuai untuk mahkamah menggunakan budi bicara supaya Sivarasa diberi satu 'personal bon' dan bukannya jaminan wang, ini adalah kerana beliau adalah seorang peguam yang telah beramal selama 28 tahun selain seorang anggota Dewan Rakyat untuk dua penggal," hujahnya. Hakim Amernudin Ahmad membenarkan Sivarasa dilepaskan dengan jaminan RM2,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan. Mahkamah menetapkan 27 Mei untuk sebutan semula kes. - Bernama