KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu mengumumkan pertukaran dan penyelarasan pegawai kanannya, berkuatkuasa 16 Mei depan. Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Datin Asmawati Ahmad dalam kenyataan berkata, pertukaran antara lain membabitkan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas E3, Bukit Aman, Datuk Khariri Jaafar yang bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Bukit Aman yang baharu. Tempat beliau diambil alih oleh Datuk Rosly Abas yang sebelum ini merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan, Cawangan Khas, Bukit Aman. Kenyataan itu turut memaklumkan Ketua Penolong Pengarah E7, Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk A Rahman Ahmad pula masih memegang jawatan sama dengan memangku pangkat DCP. Manakala, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Johor dengan memangku pangkat DCP. Jawatan Mohd Zakaria akan diganti Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid yang sebelum ini, memegang jawatan sebagai Timbalan Komander Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman. Tempat Razarudin akan diisi oleh ACP Ahmad Taufek Abdullah yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan dengan memangku pangkat SAC. Supt Mohd Fakri Che Sulaiman yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi, IPK Kelantan pula akan mengambil alih tempat Taufek dengan memangku pangkat ACP. ACP Suhaimi Deraman yang sebelum ini memegang jawatan Pegawai Turus E4A, Cawangan Khas, Bukit Aman pula dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas IPK Sarawak dengan memangku pangkat SAC. Supt Mazmi Osman yang sebelum ini memegang jawatan Supt E4A1, Cawangan Khas, Bukit Aman pula menggantikan tempat Suhaimi dengan memangku pangkat ACP. Menurut kenyataan itu lagi, Timbalan Setiausaha Bahagian NKRA, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya ACP Marzuki Kamaruzaman pula dilantik sebagai Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas, Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC. Supt Naaim Yazid Md Saaid yang sebelum ini memegang jawatan Supt Pegawai Perhubungan PDRM (MPLO) Jakarta, Indonesia dilantik sebagai ACP Pegawai Perhubungan Kanan Jakarta, Indonesia dengan memangku pangkat ACP. - Bernama