suria

Lebih 30,000 Penuhi Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Dengar Ceramah Dr Zakir Naik

Dr Zakir Naik menyampaikan syarahan bertajuk 'The Quran Gods Word' di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada malam Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih 30,000 orang menghadiri ceramah Dr Zakir Naik yang diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ia merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal dari India itu di Kuala Lumpur selepas empat kali mengadakan ceramah di Terengganu.

Beliau dijangka berada di Melaka pada Ahad bagi meneruskan jelajah ceramahnya di Malaysia.

Orang ramai dilihat tiba seawal 4 petang untuk mendengar ceramah daripada pendakwah Islam itu yang bertajuk 'Is the Qur'an God's Word?'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan antara yang hadir mendengar ceramah berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati ceramah itu turut mendapat sambutan daripada pelbagai bangsa dan agama.

Pasangan kembar beragama Kristian, Darren dan Daryl Cruz, 23, dari Kota Damansara berkata, mereka merasa bertuah menghadiri ceramah Dr Zakir pada malam Sabtu selepas mengagumi penceramah itu sejak 2010.

"Kami berdua sering menonton video Dr Zakir di YouTube dan amat kagum dengan hujah beliau yang sememangnya berdasarkan ilmu yang tinggi.

"Malam ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana selain dapat melihat sendiri Dr Zakir, kami dapat memahami sedikit berkenaan al-Quran," kata Darren.

Soon Mei Mei, 22, yang hadir bersama dua rakannya yang berbangsa Cina berkata, ia merupakan pengalaman pertamanya mendengar ceramah daripada Dr Zakir.

"Sebelum ini ada pelbagai persepsi mengenai Dr Zakir dalam media sosial sejak beliau mula berceramah di Malaysia dan malam ini saya datang bersama rakan untuk mendengar sendiri ceramah beliau.

Ceramah Dr Zakir banyak memetik ayat al-Quran dan saya terkejut beliau hafal setiap baris dengan baik sehingga mendapat tepukan orang ramai," katanya. - Bernama

Dr Zakir Naik

Artikel Lain