BALIK PULAU: Lebih 100 pekerja asing tinggal sehelai sepinggang selepas 20 buah rumah kongsi yang didiami mereka di sebuah tapak pembinaan di Sungai Korok, Jalan Kuala di sini musnah dalam kebakaran pada Sabtu. Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Ashraf Affendi Abdul Halim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.30 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau tiba di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian. "Semasa tiba di lokasi kejadian, sebahagian rumah kongsi itu telah terbakar dan api ketika itu sedang marak. Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah kongsi berhampiran," katanya di sini. Beliau berkata seramai 11 pegawai dan anggota bersama dua jentera terlibat dalam operasi memadam kabakaran itu. Pihak bomba berjaya memadam keseluruhan kebakaran itu pada pukul 9 pagi, katanya. Ashraf Affendi berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. "Tiada pekerja yang cedera dalam kebakaran itu kerana semasa kejadian ada yang telah keluar bekerja manakala yang berada di rumah kongsi berkenaan berjaya menyelamatkan diri," katanya. Seorang pekerja warga Indonesia, yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmaddin, 43, berkata semasa kejadian dia sedang bersiap mahu ke tapak pembinaan sebelum terdengar kawan-kawannya menjerit ada kebakaran. Katanya dia terus keluar dan melihat api serta asap tebal dari rumah kongsi di bahagian tengah sebelum bertindak menyelamatkan diri.