KUALA LUMPUR: Bom buatan sendiri yang ditemui di sebuah unit kondominium di Damansara Perdana tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS). Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, insiden tersebut sememangnya adalah salah laku jenayah, tetapi bukan ancaman pengganas. "Keselamatan negara dalam keadaan terkawal, dan polis masih belum mengenal pasti motif kejadian. Kita mengesan beberapa kemungkinan, dan tiada satupun dikaitkan dengan IS. "Ia disebabkan oleh tindakan pihak tertentu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rumah Gapena di sini, Ahad. Lima bom buatan sendiri ditemui polis di sebuah unit apartment di Damansara Perdana pada pagi Ahad. Keadaan itu menyebabkan pemidahan sementara melibatkan kira-kira 200 penduduk. Kesemua bom tersebut dibawa ke kuari berhampiran dan diletupkan. Ahmad Zahid berkata, polis mengadakan serbuan ke atas rumah berkenaan berdasarkan aduan mengenai aktiviti haram dijalankan. "Siasatan polis akan diteruskan. Saya memberi jaminan kepada orang terutama penduduk di apartment tersebut bahawa polis sentiasa bersedia mengendalikan hal keselamatan," katanya.