GEORGE TOWN: Lima anggota polis termasuk seorang anggota wanita dari Balai Polis Air Itam, di sini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang awal pagi Sabtu. Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk M. Samarajoo berkata, pihaknya melakukan serbuan di balai itu pada pukul 2.30 pagi dan menahan lima anggota berusia 20 hingga 40 tahun. "Anggota polis yang ditahan itu terdiri daripada seorang berpangkat koperal, tiga lans koperal dan seorang anggota wanita berpangkat konstabel. "Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes curi kereta membabitkan seorang lelaki baru-baru ini," katanya ketika dihubungi. Katanya semua anggota itu ditempatkan di lokap SPRM negeri dan dibebaskan dengan jaminan SPRM lewat malam tadi selepas pihaknya merekodkan keterangan mereka. Samarajoo berkata siasatan kes itu masih dijalankan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan. "Saya juga ingin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes rasuah agar menyalurkan maklumat kepada pihak SPRM bagi membantu siasatan," katanya. Sementara itu, sumber berkata SPRM terlebih dahulu mengepung balai polis berkenaan sebelum menahan semua anggota polis cawangan pencegahan jenayah tersebut. Difahamkan SPRM turut merampas sejumlah wang dipercayai membabitkan kes rasuah itu yang disembunyikan dalam bekas makanan segera. Ketua Polis Daerah Timut Laut ACP Mior Faridalatash Wahid ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggotanya bagi membantu siasatan SPRM dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi. Katanya pihaknya akan memberi kerjasama kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.