suria

Teater Atas Pokok Diiktiraf MBOR

SHAH ALAM: Jika selama ini pentas menjadi ruang aksi pelakon dunia teater negara, tetapi buat julung kalinya penonton terpukau dengan gaya terbaharu yang ditampilkan menerusi naskhah Teater Atas Pokok.

Kelainan yang dibawa pengarah, Shamsuddin Osman atau lebih dikenali sebagai Dinsman itu nyata membuahkan hasil.

Lebih manis ia mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai pementasan pertama di negara ini yang diadakan bukan di pentas, tetapi seperti judulnya - di atas pokok.

Berlangsung di kawasan lapang Dataran Bunga Raya bersebelahan Dataran Kemerdekaan di sini, ia mendapat sambutan ramai pada hari pertama persembahannya pada Sabtu.



Sebaik selesai lakonan teater hampir dua jam itu, penonton menjadi saksi apabila Pengarah Operasi MBOR Christopher Wong menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Dinsman sambil disaksikan Exco Selangor, Amiruddin Shaari.

Pementasan percuma yang mendapat kerjasama kerajaan negeri Selangor ini disaksikan hampir 1,000 penonton berbilang bangsa.



Pukul 9 malam pada Ahad adalah hari terakhir pementasan selama dua hari itu.

Menariknya teater ini turut dibarisi pelakon pelbagai kaum yang dengan selamba berdialog sambil bergayut dan pelbagai aksi lain di atas pokok.

Turut memeriahkan pementasan itu adalah Sani Sudin, Yassin Salleh, Nadhilah Suhaimi, Bohari Ibrahim, Saidin Omar, selain Lim Paik Yin dan penari professional dari Thailand, Bhumin Dhanaketpisarn.

Mesej yang dibawa berlingkar isu kerakusan pihak kerajaan mahu membangunkan Kampung Banda Dalam di pinggir Kuala Lumpur.

MBOR, Teater Atas Pokok, Dinsman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain