suria

Culik: Tidak Wajar Persalahkan Esscom Sepenuhnya - Nasir

KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)Senallang Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata adalah tidak wajar untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi insiden penculikan di perairan negara baru-baru ini.

Beliau berkata semua pihak perlu lebih realistik dan melihat secara positif dengan pelbagai kemajuan yang dilakukan oleh Esscom termasuk mengekang beberapa kes penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebelum ini.

"Pelaksanaan perintah berkurung di beberapa kawasan di Esszone, penambahan anggota keselamatan dan aset serta pembinaan pangkalan operasi hadapan adalah langkah proaktif yang sememangnya memberi impak positif.

"Tetapi, apabila berlaku kes ancaman keselamatan seperti penculikan, keberkesanaan semua langkah dan inisiatif berkenaan kembali dipersoalkan," katanya ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Isnin.

Sehubungan itu, Nasir berkata kes penculikan yang didalangi kumpulan  sama itu perlu ditangani secara lebih holistik dengan melibatkan bukan hanya kumpulan penguatkuasa semata-mata.

Beliau menyarankan supaya kolaborasi penyelidikan pada tahap tertinggi perlu segera digemblengkan secara eksklusif bagi menghasilkan dapatan yang konklusif.

Sementara itu, Adun Klias Datuk Seri Lajim Ukin pula berkata jika isu keselamatan itu dibiarkan berlarutan di Sabah, ia dikhuatiri menjadi satu ancaman yang mempengaruhi ekonomi negeri ini.

"Sebelum ini, hanya sektor pelancongan yang menerima kesan langsung ancaman keselamatan itu. Namun, kini pengganas dilihat memperluas sasaran mereka kepada kapal nelayan dan kapal dagang.

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memulihkan keyakinan golongan peniaga, pelabur dan rakyat terhadap isu keselamatan dan kedaulatan di negeri ini agar aktiviti ekonomi tidak akan terencat," katanya semasa membahaskan ucapan berkenan.


Artikel Lain