suria

Finalis APO2016: Faiz Dickie Guna Pengaruh Di Media Sosial Selagi Ada ‘Demand’

Faiz Dickie.

PETALING JAYA: Personaliti media sosial yang dikenali ramai, Faiz Dickie akan menggunakan pengaruhnya sebaik mungkin menerusi platform itu selagi terdapat permintaan daripada masyarakat terutama pengikutnya.

Pemilik nama sebenar Mohd Nasrul Faiz Abu Azal berkata, pada masa ini antara yang dilakukannya adalah mempromosikan produk dan membuat iklan.

“Sebab saya berpendapat kegemilangan seseorang di media sosial tidak bertahan lama kerana satu hari nanti mungkin kita akan jatuh. Jadi, sementara ada ‘demand’ sekarang, lebih baik saya menggunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Saya tidak mahu sekadar dikenali sebagai Faiz Dickie yang hanya menghasilkan video-video lawak, tetapi turut menggunakan platform yang diikuti ramai ini untuk perkara-perkara lain yang memberi manfaat,” katanya kepada mStar Online.

Faiz Dickie merupakan finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) dalam kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online.

Aksi Faiz Dickie yang mencuit hati.

Lebih mesra dengan panggilan Faiz, dia bagaimanapun mahu terus bergelar sebagai individu berpengaruh di media sosial.

Katanya, ramai melihat golongan berkenaan lebih menjurus kepada bidang hiburan, tetapi beliau berpendapat skopnya begitu meluas dan beliau pula menjurus kepada akademik.

Tambah pemuda berusia 27 tahun ini, pendekatan itu seiring dengan cita-citanya untuk bergelar pensyarah dalam bidang berkaitan media terutama media baharu.

“Saya mahu jadi pensyarah satu hari nanti, sebab itu saya kini melibatkan diri dengan memberi ceramah dan ucapan. Secara tidak langsung, ia dapat membina kemahiran saya dalam berkomunikasi.

“Alhamdulillah, banyak universiti menjemput saya untuk memberikan ‘talk’ dan ucapan. Saya berbesar hati bila dikatakan para pelajar menghormati saya,” ujar Faiz.

Tambah Faiz, ceramah atau ucapan itu lebih kepada sesi perkongsian pengalaman dan pengetahuannya berkaitan dengan media sosial, media digital dan kewartawanan.

Faiz Dickie turut bersaing dengan personaliti media sosial lain iaitu Amran Fans, Ucopppp, Mat Luthfi dan Luqman Podolski.

Faiz Dickie berjaya membentuk komuniti unik dan tersendiri bergelar ‘Village People’.

Mengenai Luqman Podolski yang menganggapnya sebagai idola, Faiz berkata, beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan berkenaan.

“Saya juga sebenarnya merupakan peminat Luqman Podolski. Saya mula kenal dia sewaktu dia buat video di Vine (platform media sosial) sehingga dia beralih ke Instagram,” katanya.

Walaupun usia Luqman jauh lebih muda, kata Faiz, pemuda itu sering menghasilkan video berkualiti dari segi teknik kamera serta mengetengahkan isu yang menarik.

"Macam orang kata ‘Imitation is the sincerest form of flattery’ (meniru merupakan cara terbaik untuk menyanjung seseorang), ia sudah cukup membuatkan saya bangga dan dihargai,” ujar Faiz.

Pengundian APO2016 masih dibuka dan boleh dibuat menerusi http://apo.mstar.com.my/undi.aspx

APO2016 dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) yang dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.

Faiz Dickie, APO2016, Luqman Podolski

Artikel Lain