KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Christoph Mueller akan melepaskan jawatannya pada September 2016 namun berhasrat untuk terus berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif di syarikat penerbangan nasional itu. Mueller menyertai Lembaga Pengarah Malaysia Airlines System Bhd sebagai Pengarah Bukan Eksekutif pada 1 Jan, 2015 dan memangku CEO MAB pada 1 Mac, 2015. Beliau menggantikan Ahmad Jauhari Yahya sebagai Pengarah Urusan dan CEO MAS pada 1 Mei, 2015. Dalam satu kenyataan hari ini, MAB berkata Mueller yang memberi sumbangan besar dalam usaha penyusunan semula Malaysia Airlines, sudah mengemukakan hasratnya untuk berundur sebelum kontrak tiga tahunnya berakhir. Namun, demi memastikan kelangsungan serta usaha mencari penggantinya berjalan lancar, beliau akan berkhidmat sepanjang tempoh notis selama enam bulan sehingga September 2016. Lembaga Pengarah MAB sudah memperakui hasrat Mueller untuk berundur lebih awal daripada sepatutnya atas alasan peribadi. Sehubungan itu, pihak lembaga sudah memulakan usaha mengenal pasti CEO baharu di peringkat dalaman dan luaran. "Kami amat berdukacita kerana akan kehilangan Mueller sebagai CEO. Namun,kami juga amat memahami alasan serta menghormati kewajarannya untuk berbuat demikian," kata Pengerusi MAB Tan Sri Md Nor Yusof. Beliau menyifatkan Mueller berjaya memberi impak besar bagi meletakkan MAB di landasan pemulihan sepenuhnya. Malah, kata Md Nor, usaha gigih Mueller sejak setahun lepas menyaksikan Malaysia Airlines mencatat perkembangan yang menggalakkan. "Ada keputusan strategik utama lain yang disediakan dan akan diuruskan Muller," katanya. Sementara itu, Mueller menyuarakan rasa teruja untuk meneruskan cabaran tugas yang disifatkannya sebagai menarik, atas kapasiti jawatan eksekutifnya bagi tempoh enam bulan lagi. "Malangnya, alasan peribadi ini akan menyukarkan saya untuk menyempurnakan tempoh perkhidmatan secara penuh," katanya. Mueller berkata, syarikat penerbangan nasional itu sudah menjalani usaha penstrukturan untuk muncul semula peneraju dari segi pengalaman penumpang selain menghubungkan Malaysia dengan dunia. Beliau juga yakin MAB berada di landasan sewajarnya untuk meraih kejayaan dalam fasa berikutnya di bawah pimpinan CEO baharu. Sementara itu, MAB berkata Lembaga Pengarahnya turut melantik Ketua Pegawai Operasi Peter Bellew sebagai Pengarah Eksekutif berkuatkuasa serta merta. Beliau menyertai Ketua Pegawai Kewangan, Omar Siddiq yang sudah memegang jawatan Pengarah Eksekutif. -Bernama