KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Daerah bagi menyelesaikan masalah membabitkan pelajar seperti isu histeria di Kelantan baru-baru ini. Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata isu seperti itu tidak perlu campur tangan kementerian untuk menyelesaikannya. "Tidak perlu untuk menunggu arahan kementerian seperti mahu mendapatkan pekeliling terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan undian Liga Bola sepak Anak Muda Parlimen Padang Terap 2016 di sini, malam ini. Mahdzir yang juga Anggota Parlimen Padang Terap berkata, kementerian membenarkan pihak sekolah dan PPD mengambil apa sahaja langkah terbaik untuk mencari penyelesaiannya. "Ambillah langkah-langkah yang tepat dan betul dalam membuat apa sahaja keputusan seperti kaedah meminta pengamal perubatan Islam," katanya.