suria

Kapal Tangki Terbakar, Seorang Maut Lima Cedera Di Teluk Bahang

Kapal tangki Heung-A Pioneer terbakar menyebabkan seorang maut dan lima cedera pada Isnin. Foto:MUSTAFA AHMAD/ The Star

GEORGE TOWN: Seorang anak kapal warga Myanmar terbunuh manakala lima lagi anak kapal warga Korea dan Myanmar cedera apabila sebuah kapal tangki membawa bahan kimia, Heung-A Pioneer, terbakar dan meletup di kawasan perairan Teluk Bahang di sini pada Isnin.  

Tha Tun, 35, mati ketika kapal itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Dermaga Dalam, Butterworth dekat sini. 

Mereka yang cedera terdiri daripada seorang rakyat Korea, Kang Seongjin, 18,dan empat warga Myanmar, Zwe Ko Ko Hte, 28, La Min Hoo, 32, Kyaw Win (Mohd Fareez), 23, dan Theng Thai Nung (Mohd Fazreen), 25. 

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata kesemua anak kapal yang cedera itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan mereka dilaporkan stabil. 

"Mayat anak kapal itu berada di Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat,"katanya ketika dihubungi di sini.  

Terdahulu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd (PPSB) Rosihan Adi Baharuddin dalam kenyataan di sini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kapal itu pada kira-kira 10 malam mendakwa berlakunya satu letupan dan mereka memerlukan bantuan perubatan. 

"Sebaik menerima panggilan itu, kami menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Hospital Seberang Jaya, Balai Polis Butterworth dan Jabatan Pertahanan Awam, meminta mereka bersiap sedia menunggu ketibaan kapal itu kira-kira 45 minit lagi," katanya. 

Rosihan berkata kapal berkenaan tiba kira-kira tengah malam dan kaptennya memberitahu kebakaran bermula di bahagian tengah dek. 

Sementara itu,  Zwe Ko Ko Hte berkata beliau sedang mencuci lantai di dek kapal apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan. 

"Saya bekerja di bilik enjin tapi semalam saya naik ke bahagian atas kapaluntuk mencuci...tiba-tiba berlaku letupan dan saya nampak api sebelum saya pengsan.

"Saya hanya sedar selepas menerima rawatan di hospital," katanya, yang boleh berbahasa Melayu, semasa ditemui di hospital itu.

Menurutnya kapal itu, yang berpangkalan di Singapura, membawa muatan bahankimia dari republik berkenaan ke NBCT dan semasa kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Singapura.

Zwe Ko Ko Hte yang luka dan melecur di telinga serta kedua-dua belah kakinya berkata keluarganya di Myanmar telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Saya bekerja dengan syarikat perkapalan itu sejak enam tahun lepas dan ia kali pertama saya alami kejadian seperti ini," katanya.

Mohd Fareez pula berkata letupan itu menyebabkan beliau terpelanting semasa sedang menyusun beberapa barang di bahagian atas kapal.

"Saya nampak beberapa pekerja ketika itu...seorang cedera parah di perut dan kepala," katanya yang melecur di perut, tangan dan muka.-Bernama

Artikel Lain