BALIK PULAU: Kes pengawal keselamatan yang didakwa membunuh dan merogol seorang pelajar perempuan tingkatan lima di Mahkamah Majistret di sini disebut semula pada 19 Mei depan. Majistret Nur Azzuin Abdul Moati menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya masih menunggu izin untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi. Pada 6 November tahun lalu, tertuduh Tarmizi Yaakob, 20, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh gadis itu yang juga kekasihnya di Teluk Kumbar dekat sini antara pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam, 25 Oktober tahun lepas. Dia yang juga dikenali dengan panggilan 'Babun', didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Pada 16 Februari lepas pula Tarmizi turut didakwa merogol kekasihnya itu di tempat dan tarikh sama pada pukul 7.30 pagi mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Sementara itu di Mahkamah Sesyen di sini Tarmizi turut menghadapi satu lagi pertuduhan merogol seorang kerani. Pada 17 Februari lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol gadis berusia 21 tahun itu dengan cara mengacukan pisau serta mengugut untuk membunuh mangsa. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Teluk Kumbar dekat sini antara pukul 4.30 hingga 5.30 pagi pada 8 Oktober 2015 mengikut Seksyen 376 (2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. Pada prosiding hari ini Hakim Helmi Ghani menetapkan 19 Mei ini untuk pengurusan kes tersebut. Bagi kedua-dua kes rogol yang dihadapi Tarmizi, tertuduh diwakili peguam Sukhindarpal Singh.-- Bernama