PUTRAJAYA: Seorang peguam pada Rabu menyerahkan dua bukti baharu kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan isu pelupusan lot tanah di Taman Manggis dan pembelian rumah banglo di bawah harga pasaran melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Peguam Datuk Abu Backer Sidek, yang ditemui media sebelum menyerahkan bukti forensik itu, turut meminta Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali menyegerakan pendakwaan terhadap Lim. Sebelum ini, beliau turut menyerahkan beberapa bukti forensik berkenaan kes itu kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Isu Lim membeli banglo berharga RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang dibangkitkan Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya pada persidangan Dewan Rakyat, yang mendakwa harga itu berada di bawah nilai pasaran. Tanah di Taman Manggis, yang sebelum ini diperuntukkan untuk pembinaan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), pula dijual kepada pemaju dan dirancang untuk pembinaan hospital swasta dan hotel.