suria

Pengasuh Didakwa Dera Anak Angkat Sejak Tahun Lalu

Nor Asiah Mohamed Ali, 48, dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ampang, Khamis atas tuduhan mendera anak angkat perempuannya sejak tahun lepas sehingga 8 April tahun ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR:  Seorang pengasuh di sebuah tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini atas pertuduhan mendera anak angkat perempuannya sejak tahun lepas.

Nor Asiah Mohamed Ali, 48, sebagai orang yang mempunyai penjagaan keatas seorang kanak-kanak berusia 5 tahun 11 bulan, didakwa mendera kanak-kanak itu di Tadika An-Nur, No 1, Jalan Bukit Indah  2/17, Taman Bukit Indah, di sini dari 2015 sehingga 8 April 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebh RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.   

Tertuduh, yang berbaju kurung hijau, menangis teresak-esak ketika dibawa masuk ke dalam mahkamah dan hanya menunduk tanpa mempedulikan suami dan anggota keluarga yang menghampirinya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahania itu tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

"Saya difahamkan mangsa kini berada di dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dirawat di Hospital Ampang," katanya pada Rabu.

Peguam tertuduh Samry Masri memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan anak saudara Nor Asiah sedia memastikan kehadiran wanita itu ke mahkamah selain dia tidak mempunyai kebarangkalian melarikan diri.

"Jaminan RM2,500 sudah memadai supaya tertuduh dapat pulang kepada keluarga dan menjalani kehidupan seperti biasa sebelum menjalani perbicaraan," katanya sambil memberitahu tertuduh mempunyai seorang anak berusia 25 tahun.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes berkenaan selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam tertuduh memberitahu wanita itu telah menjaga mangsa sejak kanak-kanak itu berusia dua tahun. -Bernama

Dera Anak angkat

Artikel Lain