suria

Sabotaj Masih Boleh Jejas Keputusan PRN Sarawak - Pakar

Prof Madya Dr Jeniri Amir
KUCHING: Barisan Nasional (BN) mungkin bakal berdepan sabotaj dalaman jika ketidakpuasan hati mengenai pemilihan calon tidak diselesaikan walaupun 82 calon telah dimuktamadkan, kata penganalisis politik.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata senarai calon BN dimuktamadkan begitu dekat dengan hari penamaan calon, menunjukkan wujudnya masalah dalam memilih siapa yang patut bertanding daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras.


"Ini adalah kali pertama BN mengeluarkan senarai penuh calon pada saat-saat akhir. Ia adalah manifestasi masalah antara SUPP dan UPP serta SPDP dan Teras," katanya kepada The Star.

Calon-calon telah diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu lalu, dengan tiga yang terakhir diumumkan pada Isnin.

Daripada 82 yang dinamakan, 40 adalah daripada PBB, SUPP (13), PRS (11) dan lima daripada SPDP. Selebihnya adalah calon langsung yang terdiri daripada tujuh daripada UPP, tiga daripada Teras dan tiga yang meletak jawatan dari PBB.

Penamaan calon bagi pilihan raya 7 Mei adalah pada 25 April.

Jeniri berkata pemilihan calon bermasalah akan mewujudkan permusuhan dan muslihat di kalangan mereka yang prihatin dalam parti yang boleh membawa kepada sabotaj.

"Apabila ada orang tidak puas hati dengan keputusan itu, ia mungkin memakan diri di kemudian hari. Mereka boleh melakukan sabotaj dengan menyokong calon-calon pembangkang dari segi sumber, menggesa penyokong mereka supaya menyokong pembangkang, tidak memberi sebarang bantuan kepada calon-calon BN atau berdiam diri semasa kempen.

"Menilai kenyataan sesetengah individu yang tidak dipilih, mungkin sebahagian daripada mereka akan berdiri sebagai calon bebas," katanya.

Oleh itu, beliau berkata adalah penting bagi BN merapatkan barisan dan bersatu atau berdepan risiko membuka pintu kepada pembangkang untuk menang.

Beliau menganggarkan kira-kira 22 kerusi kini dianggap bermasalah bagi BN.

"Saya rasa pihak yang berkenaan perlu menerima hakikat bahawa calon-calon telah pun dipilih. Sekarang mereka perlu bekerjasama dan bersatu.

"Ada kerusi tertentu yang mereka boleh menang jika mereka benar-benar bekerjasama," katanya.

Jeniri juga berkata pemilihan calon langsung adalah langkah jangka pendek untuk menyelesaikan kemelut antara SUPP-UPP dan SPDP-Teras.

"Persoalan terbesar sekarang adalah apa yang akan jadi pada masa akan datang untuk calon-calon ini jika mereka menang.

"Adakah mereka akan kembali ke Teras dan UPP? Jika ya, ia akan menjadi status quo. Kemudian anda mengulangi keseluruhan proses itu pada pilihan raya umum akan datang dan pilihan raya negeri akan datang, "katanya.

Jeniri berkata beliau melihat tidak ada pilihan melainkan membubarkan kedua-dua parti serpihan itu jika BN mahu bergerak ke hadapan dan memastikan keharmonian dalam gabungan itu.

Jika tidak, ia akan digugat dengan konflik berterusan.

Bagi pihak pembangkang, Jeniri berkata, DAP dan PKR harus berkompromi terhadap lima atau lebih kerusi yang menjadi pertikaian untuk menghadapi berdepan BN secara satu lawan satu.

"Jika tidak, ia akan menafikan sebarang kesan perbalahan dalaman BN. Jika mereka tidak berkompromi, mereka akan menghantar mesej yang salah kepada rakyat," katanya.

Artikel Lain