IPOH: Sebuah bas merempuh 12 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat Jalan Tambun-Sunway, berdekatan pasar besar Giant, di Tambun dekat sini, Khamis. Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata dalam kejadian pada 7.36 pagi itu, bas yang membawa 35 penumpang sedang dalam perjalanan dari Tanjung Rambutan menghala ke Ipoh. "Apabila sampai di lampu isyarat berkenaan, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar 12 kenderaan di hadapan yang berhenti kerana lampu isyarat merah. "Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya dalam sebuah kenyataan di sini. Menurut Sum sehingga pukul 4 petang tadi pemandu serta 11 lagi pemilik kenderaan terbabit telah membuat laporan polis dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. -Bernama