suria

Laporan Serpihan Tunjukkan MH370 Berakhir Di Selatan Lautan Hindi - Liow

Datuk Seri Liow Tiong Lai
BENTONG: Laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mendapati dua keping serpihan yang dijumpai di Mozambique adalah 'hampir pasti' dari MH370, adalah selaras dengan pengumuman kerajaan bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata corak aliran yang disediakan oleh pakar-pakar telah menunjukkan bahawa serpihan pesawat boleh sampai ke Mozambique dan Afrika Selatan.

"Ini adalah salah satu analisis yang boleh menunjukkan bahawa MH370 memang berakhir di selatan Lautan Hindi.

"Kedua, serpihan itu juga akan dianalisis dengan teliti untuk menentukan bagaimana pesawat itu berakhir. Jika lebih banyak serpihan ditemui, ia juga boleh membantu untuk menentukan bagaimana ia berlaku.

"Sama ada ia terhempas tiba-tiba, perlahan-lahan atau sama ada ia meletup, banyak yang boleh diketahui melalui serpihan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan anugerah kecemerlangan akademik di SMK Chemomoi di sini Khamis.

Beliau berkata Malaysia telah mendapat kerjasama daripada kerajaan Mozambique dan Afrika Selatan untuk terus mencari lebih banyak serpihan.

"Kita akan menghantar pasukan ke sana jika lebih banyak serpihan ditemui.

"Pada masa ini kita tidak akan menghantar pasukan di sana kerana kedua-dua negara telah bersetuju untuk membantu kita dalam pencarian.

"Kedua-dua keping serpihan yang dijumpai di Mozambique mempunyai kemungkinan yang tinggi bahawa ia adalah dari MH370, berdasarkan warna dan tulisan stensil.

"Ini tidak seperti flaperon di Pulau Reunion sebelum ini, kerana nombor siri hampir sama dengan pesawat MH370," kata Tiong Lai yang juga mengucapkan terima kasih kepada Australia dan pakar-pakar kerana telah menganalisis dua keping serpihan yang dijumpai.

Penerbangan MH370 hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dengan 239 penumpang dan anak kapal.

Artikel Lain