KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa Anggota Parlimen pembangkang mengadakan sidang media di lobi Parlimen sewaktu persidangan Dewan Negara dilihat seolah-olah tidak mengamalkan budaya menghormati Dewan Negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Anggota Parlimen berkenaan sepatutnya mengemukakan surat memohon kebenaran dan mungkin boleh dibincangkan jika terdesak mengadakan sidang media. "Sebagai ahli politik, mereka tiada budaya menghormati tuan rumah (Dewan Negara) walaupun mereka mempunyai hak sebagai Anggota Parlimen, tidak semestinya mereka boleh mengganggu sidang Dewan Negara. "Jadi, saya agak terperanjat apabila mengetahui perkara itu. Mereka boleh membuat sidang media di tempat lain seperti pejabat mereka sendiri. Soalan saya macam mana mereka hendak memimpin negara kalau tidak menghormati undang-undang, tuan rumah dan Dewan Negara," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Judith St George di bangunan Parlimen di sini, pada Khamis. Selasa lepas, Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang juga Naib Pengerusi PACbersama Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Datuk Kamarul Baharin (PKR-Telok Kemang) dan William Leong (PKR-Selayang) mengadakan sidang media berkaitan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Tindakan mereka ditegur Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang secara kebetulan melalui ruangan berkenaan dan mengarahkan untuk menghentikan sidang media berkenaan. Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Tony Pua yang mendakwa beberapa ayat dalam laporan akhir 1MDB telah dikeluarkan, antaranya mengenai perbincangan antara pegawai Jabatan Audit Negara dan anggota PAC, Azalina berkata: "Bagi saya dia (Tony Pua) kena pergi balik kepada mesyuarat PAC untuk menimbulkan perkara ini. Mengapa hendak gembar-gemburkan cerita, marah sana-sini. Beliau duduk dalam mesyuarat, lepas itu kata 80 peratus tidak yakin. Jika begini, baik tidak perlu menjadi anggota PAC," katanya. Mengenai kunjungan hormat itu, Azalina berkata kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia itu bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan kepakaran mengenai perjalanan Parlimen antara kedua-dua negara seperti yang diluluskan Dewan Rakyat untuk melakukan reformasi Parlimen. "Saya akan mengetuai Jawatankuasa Kabinet mengenai Reformasi Parlimen yangakan mengadakan lawatan kerja ke Parlimen Kanada bulan depan. Lawatan ini khusus untuk mengkaji sistem jawatankuasa yang dilaksanakan di Parlimen Kanada,"katanya. -Bernama